KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas sembilan kontena mengandungi ayam beku bernilai RM2.75 juta di Pelabuhan Sepanggar di sini, 7 Mei lalu.
Semua ayam beku yang dipercayai cuba mengelak daripada dikenakan cukai itu berjaya dikesan hasil analisa risiko daripada Unit Pemeriksaan Kontena dan aduan awam.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, hasil pemeriksaan terhadap sembilan kontena berkenaan mendapati, ia diikrarkan sebagai sayur-sayuran seperti ubi kentang dan kacang pis hijau.
Bagaimanapun katanya, semua sembilan kontena jenis ‘reefer’ berkenaan didapati berisi daging ayam sejuk beku.
“Hasil pemeriksaan fizikal mendapati dagangan yang dimuatkan adalah daging ayam beku yang terdiri daripada bahagian dada dan sayap serta tongkeng ayam.
“Semua bekalan ayam sejuk beku berkenaan dianggarkan bernilai RM2.75 juta dengan anggaran duti dan cukai terlibat sebanyak RM550,000,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pelabuhan Sepanggar, di sini, hari ini.

Susulan rampasan itu, Mohd Nasir berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 52 dan 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.
“Bagi kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda jumlah duti kastam atau RM100,000, mengikut mana-mana yang lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda jumlah duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana yang lebih besar.
“Pesalah turut boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sementara itu, Mohd Nasir berkata, tindakan penyeludup melakukan kegiatan itu bukan saja kerana mahu mengelak cukai tetapi juga disebabkan prosedur berkaitan pengesahan sijil halal yang perlu sebelum bekalan daging ayam dibenarkan dibawa masuk ke negara ini.
“Daging ayam antara makanan yang membawa banyak keuntungan jadi ada pihak mahu mengelak daripada dikenakan cukai.
“Selain itu banyak prosedur perlu dipatuhi termasuk sijil halal untuk membawa masuk daging ayam ke negara ini,” katanya.

Mohd Nasir berkata, aktiviti penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
Justeru itu katanya, orang ramai disarankan supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan ditalian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.
“JKDM juga turut memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat berkenaan adalah dirahsiakan,” katanya. – Info X