KOTA KINABALU: Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur semalam meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 selepas dibentang untuk bacaan pertama pada Julai lalu.
Pindaan itu bagi menyelaras undang-undang perburuhan di Sabah dengan undang-undang yang dikuatkuasakan di Semenanjung.
RUU yang dibentang Menteri Sumber Manusia, Steven Sim itu diluluskan menerusi suara majoriti ahli Dewan Rakyat, selepas usul pindaan itu dibahaskan 10 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Ketika menggulung perbahasan bagi RUU itu, Sim berkata, pindaan itu mencipta sejarah tersendiri bagi lebih dua juta pekerja di Sabah yang bakal menikmati kemudahan dan manfaat seperti dinikmati pekerja di Semenanjung.
Jelasnya, undang-undang yang dilaksana di Sabah sebelum ini tidak pernah dipinda sejak 20 tahun lalu menyebabkan pelbagai manfaat dinikmati pekerja di Semenanjung tidak dinikmati pekerja di Sabah.
“Pelaksanaan (kepada RUU ini kelak) adalah elemen mustahak dan penting. Kita akan menerapkan perhatian khususnya dalam mengangkat martabat dan maruah pekerja di Sabah.
“Kita ada lebih 14 sesi libat urus bukan saja antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan tetapi juga wakil pekerja dan kesatuan pekerja selain pernah dibangkitkan dalam mesyuarat MA63 (Perjanjian Malaysia 1963).
“Jadi tidak berbangkitlah bahawa pindaan ini (kononnya) tidak memenuhi semangat MA63,” katanya.
Sim berkata, RUU itu membabitkan 41 pindaan daripada peruntukan sedia ada selain memasukkan 23 peruntukan baharu dan memansuhkan enam peruntukan sedia ada.
Pindaan itu katanya, antara lain meliputi 70 fasal untuk menyelaras undang-undang perburuhan yang merangkumi tiga akta utama yang dikuatkuasakan di Semenanjung iaitu Akta Kerja 1955; Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990; dan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966.
Antara perkara utama dalam pindaan itu ialah liputan pemakaian ordinan diperluas daripada pekerja bergaji RM2,500 ke bawah kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaan.
Selain itu, tempoh cuti bersalin di Sabah dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari, manakala cuti paterniti yang tidak diperuntukkan mengikut ordinan itu sebelum ini, kini diberikan kepada bapa sebanyak tujuh hari.
Pindaan turut membabitkan waktu bekerja yang dikurangkan daripada 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu, peruntukan baharu mengenai aturan kerja anjal, peruntukan aduan buruh paksa, penambahan bab baharu 11B tentang gangguan seksual serta yang berkaitan perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja. – Info X