Search

Dewan Rakyat lulus RUU Makanan (Pindaan) 2026, penalti kesalahan dinaikkan

October 8, 2026

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Makanan (Pindaan) 2026 bagi memperkukuh kawalan keselamatan dan kualiti makanan serta memberikan perlindungan lebih komprehensif kepada pengguna di seluruh negara.

Pindaan Akta Makanan 1983 (Akta 281) yang pertama kali dibuat secara menyeluruh itu antaranya melibatkan peningkatan kadar penalti, kawalan terhadap sampel bahan bersentuhan makanan (BBM), pemantauan aktiviti penjualan makanan dalam talian serta pemantauan tahap racun perosak dalam hasil pertanian.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata peningkatan kadar penalti dalam RUU berkenaan bukan bertujuan membebankan pihak pengusaha makanan atau peniaga kecil, sebaliknya berfungsi sebagai langkah pencegahan demi melindungi kesihatan awam.

“Hukuman sedia ada tidak lagi setimpal dengan kesalahan yang dilakukan, terutamanya melibatkan kes keracunan makanan sehingga meragut nyawa seperti kes keracunan di Sekolah Menengah Sains Teluk Intan yang menjejaskan 60 pelajar tetapi denda dikenakan hanya RM3,000, serta kes laksa kebok di Kedah yang melibatkan dua kematian namun hanya didenda RM1,500 pada 2018.

“Tiada nilai kewangan dalam hal nyawa. Peningkatan kadar penalti ini mengambil kira tahap keseriusan dan berkadaran dengan pelanggaran yang dilakukan bagi memastikan peniaga lebih bertanggungjawab,” katanya semasa menggulung perbahasan RUU berkenaan di Dewan Rakyat pada Khamis.

RUU itu antara lain menetapkan peningkatan kadar denda dan tempoh maksimum pemenjaraan, termasuk penalti tidak melebihi RM25,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya bagi pelanggaran peraturan yang dibuat di bawah Akta 281.

Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan (KKM) turut menerapkan pendekatan berasaskan risiko dalam penguatkuasaan, dengan kesalahan teknikal kecil diberikan nasihat dan pendidikan kesihatan terlebih dahulu, manakala bagi kesalahan serius di bawah Seksyen 11 atau pesalah tegar yang berulang kes akan terus didakwa di mahkamah tanpa kompaun.

Menyentuh mengenai penjualan makanan secara dalam talian, beliau berkata sebanyak 23,553 permohonan sekatan media sosial dan platform e-dagang telah dikemukakan bagi tempoh 2023 hingga September 2026 berikutan trend ketidakpatuhan yang semakin ketara.

Beliau berkata pindaan akta berkenaan memperkukuh kuasa Ketua Pengarah Kesihatan untuk menutup premis atau membuat penyebaran maklumat mengenai produk berbahaya tanpa perlu menunggu perintah mahkamah, terutamanya bagi kes yang menggunakan alamat palsu.

Dzulkefly turut menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan kadar ketidakpatuhan tahap maksimum residu (MRL) racun perosak dalam sayur-sayuran di pasaran tempatan yang meningkat daripada 9 peratus pada 2023 kepada 14.1 peratus bagi tempoh Januari hingga Jun 2026.

Beliau turut memberi jaminan bahawa KKM akan memberikan tempoh kelonggaran serta melaksanakan educational enforcement secara berfasa sepanjang tempoh peralihan penguatkuasaan akta itu supaya tidak menjejaskan sektor industri dan peniaga kecil.

Bagi memastikan pematuhan integriti dalam kalangan pegawai diberi kuasa, Dzulkefly memaklumkan pemakaian kamera badan telah dilaksanakan sejak 2022 selain penggunaan Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) secara digital untuk mengurangkan ruang budi bicara dan membendung gejala rasuah.

Dewan Rakyat kemudiannya meluluskan RUU berkenaan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan oleh 35 Ahli Parlimen.

Persidangan ditangguhkan hingga 3.30 petang esok untuk pembentangan Belanjawan 2027.–BERNAMA