Search

KPDN serbu tiga premis, rampas daun terup tiruan RM55,000

October 9, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Sebanyak 27,495 pek daun terup berjenama yang disyaki tiruan bernilai lebih RM55,000 dirampas dalam serbuan serentak di tiga premis perniagaan di sekitar daerah ini, kelmarin.

Serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu dijalankan tiga pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sandakan selepas mengesan kegiatan penjualan daun terup yang disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran pemilik sah.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Sandakan, Joe Azmi Jamil berkata, pemeriksaan di ketiga-tiga premis berkenaan menemukan ribuan pek daun terup disyaki tiruan dengan nilai keseluruhan rampasan RM55,079.20.

Katanya, operasi itu turut mendapat kerjasama wakil pemilik cap dagangan jenama terbabit bagi membantu proses pengesahan barangan yang diperiksa.

“Hasil serbuan serentak itu, sebanyak 27,495 pek daun terup disita kerana disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran pemilik sah.

“Sebanyak tiga kes dibuka untuk siasatan lanjut mengikut Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815),” katanya dalam kenyataan, semalam.

Joe Azmi berkata, pihaknya memandang serius kegiatan penjualan barangan tiruan yang bukan sahaja melanggar hak pemilik cap dagangan, malah boleh mengelirukan pengguna.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan peniaga supaya memastikan semua barangan berjenama yang dijual diperoleh daripada pembekal sah.

“Para peniaga perlu sentiasa mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan, khususnya oleh KPDN.

“Mereka juga perlu memastikan setiap barangan berjenama yang dijual di premis masing-masing diperoleh melalui pembekal yang sah,” katanya.

Menurutnya, individu yang disabitkan kesalahan mengikut akta berkenaan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan tiruan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Katanya, bagi kesalahan berulang, hukuman boleh meningkat kepada denda maksimum RM20,000 bagi setiap barangan atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

“Bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan pula, denda maksimum RM15,000 bagi setiap barangan boleh dikenakan untuk kesalahan pertama dan meningkat kepada RM30,000 bagi kesalahan berikutnya,” katanya.

Beliau berkata, KPDN Sandakan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam penjualan atau pengedaran barangan tiruan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku peniaga boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN atau talian 1-800-886-800,” katanya. – Info X