Search

Remaja maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba lari daripada pemeriksaan polis

October 9, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki ditemukan maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di sebuah premis di kawasan Perindustrian Nounton, Inanam, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, remaja berusia 18 tahun dipercayai bersama dua lagi lelaki berada dalam keadaan mencurigakan di sekitar Lorong Langsat, Jalan Inanam, sebelum kehadiran mereka dilaporkan oleh orang awam kepada pihak polis.

Susulan maklumat berkenaan, sepasukan anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dari Balai Polis Inanam telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, sebaik tiba di lokasi kira-kira jam 4.10 pagi, anggota polis mengesan tiga lelaki berada di tepi jalan berhampiran sebuah premis perniagaan.

Katanya, bagaimanapun, ketiga-tiga lelaki terbabit bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota polis.

“Seorang daripada mereka melarikan diri dengan memasuki kawasan premis berpagar, manakala dua lagi bertindak memanjat bumbung zink sebuah bangunan berhampiran.

“Ketika cuba melarikan diri melalui kawasan bumbung berkenaan, seorang daripada lelaki terbabit, berusia 18 tahun, dipercayai terkena renjatan elektrik sebelum ditemukan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) kemudiannya mengesahkan kematian mangsa pada jam 7.40 pagi.

“Pemeriksaan awal pada tubuh mangsa menemukan kesan kecederaan pada bahagian tangan kanan dan paha kanan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan renjatan elektrik.

“Setakat pemeriksaan awal, tiada kecederaan lain atau petunjuk yang menunjukkan wujudnya unsur jenayah berkaitan kematian mangsa.

“Bagaimanapun, bedah siasat akan dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian,” katanya.

Menurutnya, dua lagi lelaki yang turut melarikan diri berjaya ditahan oleh anggota polis dan dibawa ke Balai Polis Inanam bagi membantu siasatan lanjut.

Tambahnya, pihak polis masih menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti kronologi serta keadaan sebenar yang membawa kepada kejadian tersebut.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini sementara siasatan masih dijalankan,” katanya. – Info X