Search

Diserang ‘hipotermia’ antara cabaran operasi banjir anggota penyelamat

March 10, 2025

Info X Reporters

BEAUFORT: Bukan sahaja berhadapan dengan laluan air yang deras hingga menyukarkan bot penyelamat malah ‘hipotermia’ pegawai dan anggota akibat kesejukan melampau kerana terlalu lama di dalam air.

Itu antara cabaran yang perlu dilalui oleh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort dalam menjalankan tugas menyelamat mangsa banjir besar sejak kelmarin.

Ketua BBP Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, operasi pemindahan mangsa banjir di daerah ini dijalankan sejak Jumaat lalu.

“Kekuatan anggota dari BBP seramai 36 orang dengan dibantu pegawai dan anggota dari Kota Kinabalu, Penampang, Lintas, Putatan, Kuala Penyu dan Sipitang.

“Sejak itu, operasi dimulakan bagi proses pemindahan mangsa-mangsa banjir membabitkan 24 buah kampung yang terjejas banjir dan memerlukan pemindahan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Antara kampung yang terjejas banjir iaitu Kampung Cina, Balibata, Bakalau, Bingkul, Lumatai, Muhibbah Baru, Lupak, Batu 60, Batandok, Lago, Padas Baru, Beaufort Selatan, Selagon, Taman Muhibbah, Kampung Padas Valley, Luagan, Kubu, Mempagar, Bangkalalak, Suasa, Lubak, Pintas, Lumadan dan Jaya Baru,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata sehingga kini operasi pemindahan penduduk masih giat dijalankan kerana ada penduduk yang masih terperangkap.

Pasukan bomba memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara di Beaufort.

“Cabaran-cabaran yang dilalui semua agensi terbabit adalah laluan air yang deras menyukar bot penyelamat selain laluan jalan yang tidak berpancang tepi menyukarkan lori penyelamat untuk mengagak laluan ketika digenangi air

“Malah, hipotermia anggota akibat kesejukan melampau kerana terlalu lama di dalam air. Kepenatan melampau kerana panggilan terlalu banyak ditambah lagi dalam keadaan berpuasa,” katanya.

Bagaimanapun katanya, setakat ini proses pemindahan mangsa banjir berjalan lancar dan dinasihatkan penduduk yang berada di kawasan rendah supaya berpindah lebih awal.

“Kita juga minta mangsa-mangsa banjir supaya bertenang dalam proses pemindahan mangsa-mangsa banjir kerana ia terlalu ramai dan ia agak menyukar pasukan keselamatan untuk segera dalam ke lokasi mereka,” katanya.

“Operasi turut disertai agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela),” katanya. – Info X