Search

Dr Muhammad Radzi KP Kesihatan baharu

April 25, 2023

admin

KOTA KINABALU: Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan baharu, berkuat kuasa 21 April lalu.

Pelantikan Muhammad itu sebagai menggantikan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang akan bersara wajib selepas 35 tahun berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menerusi kenyataan medianya hari ini, berkata, pelantikan Dr Muhammad Radzi berdasarkan kelayakan dan pengalaman luas dalam bidang perkhidmatan kesihatan negara sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) di KKM sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan.

Katanya, Dr Muhammad pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah, Ketua Penyelaras Perubatan Negeri Kedah dan Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Kedah.

“Dr Muhammad Radzi juga pernah dilantik sebagai Ketua Perkhidmatan Gastroentrologi dan Hepatopogi dan menjadi pengerusi pentauliahan bidang kepakaran ini dari tahun 2013 hingga 2021.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dr Muhammad Radzi di atas pelantikan sebagai Ketua Pengarah Kesihatan berkuat kuasa 21 April 2023,” katanya.

Dr Zaliha berkata, beliau yakin dengan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran serta kredbiliti Dr Muhammad Radzi mampu memberikan yang terbaik dan menjadi rakan pasukan bersama saya dalam memastikan matlamat dan agenda reformasi kesihatan negara dilaksanakan secara menyeluruh.

“Ini selaras dengan Kertas Putih Kesihatan yang sedang dibangunkan agar masyarakat Malaysia Madani dapat terus menikmati perkhidmatan kesihatan yang komprehensif, berkualiti dan mapan,” katanya. – Info X