Search

Sumbangan penganjur bersama Piala SMJ tidak cukup, tapi saya janji akan selesaikan – Peter

April 25, 2023

admin

KOTA KINABALU: Pengerusi penganjur bersama kejohanan Pesta Bola Merdeka Piala SMJ, Datuk Peter Anthony memohon maaf kepada pihak yang terkesan dengan isu hutang penganjuran kejohanan itu dan berjanji akan menyelesaikannya dengan cara baik.

Katanya, faktor utama isu hutang berkenaan timbul adalah disebabkan sumbangan daripada kerajaan negeri selaku penganjur bersama tidak seperti yang dijangkakan dan ianya juga tidak mencukupi.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada pembekal yang belum dibayar dan untuk makluman semua, kejohanan ini merupakan anjuran bersama kerajaan negeri Sabah sempena Hari malaysia tahun lalu.

“Pada awalnya, kami menjangkakan sumbangan yang cukup daripada kerajaan negeri namun akhirnya panganjuran cuma mendapat RM150,000.

“(Sumbangan) Daripada Jetama RM100,000, Sawit Kinabalu RM30,000, Benta Wawasan RM10,000 dan Qhazanah RM10,000 manakala tajaan daripada GLC (syarikat berkaitan kerajaan) lain masih belum diperolehi oleh kelab penganjur hingga kini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Peter yang juga Presiden parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu hutang penganjuran kejohanan itu.

Terdahulu sebelum ini, Setiausaha Pengelola Kejohanan, Kerol Chong berharap Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor tampil ‘campur tangan’ bagi menyelesaikan hutang tertunggak untuk membayar jawatankuasa dan pembekal peralatan dalam kejohanan itu.

Katanya, sebanyak lebih RM600,000 masih belum dibayar kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kejohanan terbesar yang berlangsung pada September tahun lalu itu.

Hajiji menyepak bola sebagai gimik pelancaran sebelum sepak mula final kejohanan Pesta Bola Sepak Merdeka Piala SMJ 2022 September lalu.

Sementara itu, Peter mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang ingin membantu secara sukarela bagi meringankan beban ditanggung oleh mereka

“Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Kelab Bekas Pemain Bolasepak Sabah (Bank Islam Malaysia Berhad) di nombor 10016010101972.

“Apa pun selaku pengerusi bersama dalam kejohanan berkenaan, saya akan mengambil tanggungjawab bersama untuk menyelesaikan hutang tersebut,” katanya lagi.

Kejohanan yang dirasmikan sendiri oleh ketua menteri itu sebelum ini berjaya menghimpunkan bekas-bekas bintang bola sepak Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.

Hadiah-hadiah yang ditawarkan juga cukup lumayan termasuk RM120,000 yang dibawa pulang oleh pasukan indonesia sebagai juara.

Pasukan yang mendapat tempat kedua dan ketiga pula masing-masing membawa pulang wang tunai RM70,000 serta RM50,000.

Selain itu, bagi tempat keempat hingga kelapan pula, mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 untuk tempat keempat, RM24,000 (kelima), RM23,000 (keenam), RM21,000 (ketujuh) dan RM20,000 (kelapan).

Selain hadiah lumayan kepada pasukan yang menyertai, orang ramai yang hadir juga diberi peluang untuk memenangi sejumlah hadiah cabutan tiket bertuah termasuk sebuah kereta Perodua Axia. – Info X