Search

Jeffrey cadang Autoriti Penerbangan Awam Borneo ditubuhkan

April 25, 2023

admin

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mencadangkan supaya satu Autoriti Penerbangan Awam Borneo atau Borneon Civil Aviation Authority (BCAA) ditubuhkan bagi mengawal selia dan menjaga industri penerbangan di Sabah serta Sarawak.

Katanya, BCAA boleh menjaga kepentingan Sabah, Sarawak dan rakyat Malaysia yang pergi dan balik ke negeri-negeri Borneo dengan lebih baik.

Beliau berkata, dengan pengetahuan lebih baik berkaitan keadaan tempatan dan pemahaman mengenai keperluan Sabah dan Sarawak, BCAA mampu membina dorongan yang diperlukan untuk memudahkan industri penerbangan bagi mencapai tahap yang lebih tinggi.

“Dalam jangka panjang, BCAA juga boleh memanfaatkan bukan sahaja Sabah tetapi juga industri penerbangan negara secara keseluruhannya.

“Ini bukan sahaja menyerlahkan tambang penerbangan yang tinggi, mahal dan tidak munasabah untuk kedua-dua sektor,

“Ia juga mendedahkan masalah sistemik yang telah berpuluh tahun mengabaikan kepentingan dan kebajikan rakyat Sabah dan Sarawak dalam perjalanan udara, dan beban yang ditanggung oleh mereka selama bertahun-tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan susulan wujud perbalahan berterusan mengenai tambang tinggi penerbangan ke Sabah dan Sarawak ketika Aidilfitri.

Beliau berkata, perjalanan udara sangat penting terutamanya kepada Sabah dan Sarawak kerana pelancongan antarabangsa adalah sektor utama ekonomi kedua-dua negeri.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu adalah lapangan terbang kedua terbesar dan kedua tersibuk di Malaysia, dan merupakan hab serantau bagi banyak syarikat penerbangan dengan penerbangan terus antarabangsa.

“Masa untuk menyediakan BCAA juga tepat sekarang kerana Sarawak juga ingin menubuhkan syarikat penerbangan butik,” katanya. –  Info X