Search

Dua ADUN, seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah esok

June 29, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dibebaskan pada 18 dan 23 Jun lalu akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, pagi esok.

Turut didakwa di mahkamah yang sama ialah seorang ahli perniagaan, dipercayai pemberi maklumat yang bertanggungjawab mendedahkan video dakwaan rasuah membabitkan ADUN Sabah dalam isu pengeluaran lesen cari gali mineral, sebelum ini.

Berdasarkan info yang diterima, pertuduhan akan dijalankan SPRM Sabah membabitkan empat pertuduhan, masing-masing dua pertuduhan di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 iaitu memberi wang rasuah dan dua pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 iaitu menerima wang rasuah.

Difahamkan, pada 18 Jun lalu, ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dipanggil memberi keterangan selama kira-kira empat jam di ibu pejabat SPRM Sabah, manakala pada 23 Jun, ADUN Tanjung Batu yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Muhammad Suryady Andi Bandy dipercayai dipanggil memberi keterangan.

Bagaimanapun, SPRM dalam dua kenyataan berhubung penahanan ADUN yang dipanggil memberi keterangan isu pengeluaran lesen cari gali mineral sebelum ini tidak mendedahkan identiti ADUN terbabit.

Esok, identiti sebenar dua ADUN dan ahli perniagaan terbabit bakal diketahui apabila kedua-duanya dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu. – Info X