Search

Percaturan politik Sabah mungkin berubah – PKR

June 29, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: PKR Sabah menjangkakan percaturan politik Sabah bakal berubah disebabkan isu rasuah yang didakwa membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ketuanya, Datuk Mustapha Sakmud, berkata isu itu, terutama dengan pendedahan terbaharu seramai enam lagi ADUN yang juga pemimpin tertinggi parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bakal memberi kesan kepada landskap politik negeri ini.

Katanya, pendedahan mengenai pembabitan ADUN terbabit yang dikaitkan dengan isu perlombongan mineral menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) adalah sesuatu yang mengejutkan selepas pendedahan sebelum ini yang didakwa membabitkan lapan ADUN.

“Kami terkejut, kita ingat cukup sudah video sebelum ini dan dua ADUN yang akan didakwa. Sekarang kita sedang menganalisa kesannya.

“Kita percaya ini sedikit sebanyak akan mengubah landskap, percaturan politik di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama MPN Sabah bagi sesi 2025-2028, di sini, pada Ahad.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi itu berkata berikutan perkembangan berkenaan, PKR Sabah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.

“PKR siap sedia terhadap apa juga kemungkinan dan kita mahu jentera kita di setiap cabang kena peka dengan perkembangan semasa. Kita perlu sedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku,” katanya.

Pada Sabtu, sebuah portal berita Malaysiakini mendedahkan enam lagi ADUN Sabah didakwa terbabit rasuah yang dikaitkan dengan aktiviti perlombongan mineral.

Sumber yang dipetik portal itu mendakwa mereka terdiri daripada pemimpin tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Portal itu menyebut nama Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan dua timbalannya, Datuk Ellron Alfred Angin serta Datuk Robert Tawik; pemangku Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam, Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim didakwa dalam skandal terbaharu itu.

Ia mendakwa menerima maklumat berdasarkan tangkap layar paparan rakaman video membabitkan pemimpin terbabit daripada sumber yang enggan didedahkan.

Mereka dikatakan terbabit dalam urusan berunsur rasuah dengan jumlah keseluruhan RM3.96 juta dan sumber didakwa mempunyai bukti mesej Whatsapp dan dokumen lain yang menyokong transaksi, selain video.

Sebelum ini, seramai sembilan individu, masing-masing lapan ADUN, manakala seorang lagi Speaker DUN, didakwa terbabit dalam dakwaan rasuah dikaitkan dengan isu pengeluaran lesen cari gali mineral.

Dua ADUN sudah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dibebaskan dengan jaminan pada 18 dan 23 Jun lalu dan akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, esok. – Info X