KINABATANGAN: Dua tersepit manakala empat lagi cedera selepas sebuah lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertembung dengan treler yang membawa jengkaut berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Segaliud, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, dua anggota ATM yang juga pemandu dan penumpang lori lima tan mengalami kecederaan di bahagian kaki selepas tersepit di dalam kenderaan berkenaan.
Dua lagi anggota ATM yang berada di bahagian belakang lori serta pemandu dan penumpang treler hanya mengalami kecederaan ringan.
Difahamkan, lori ATM berkenaan dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Tawau sebelum bertembung dengan treler yang membawa muatan jentera berat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada jam 8.55 malam sebelum menggerakkan enam anggota ke lokasi kejadian.
“Dua mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas.
“Semua mangsa diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan di lokasi sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans,” katanya.
Menurutnya, operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.28 malam selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian. – Info X