Search

Sidang DUN: Kebersihan perairan Semporna diberi perhatian, kutipan sampah dimula 2026

December 17, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap kebersihan perairan, khususnya di daerah Semporna.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Arif, sehubungan itu berkata perkhidmatan pemungutan dan pembersihan sampah di perairan Semporna akan dimulakan pada tahun depan.

Katanya, tapak pelupusan sisa pepejal di Semporna juga sangat diperlukan memandangkan daerah itu belum mempunyai tapak pelupusan yang sesuai.

“Pada masa ini, tapak pelupusan sisa pepejal di Semporna dilaksanakan di atas tanah persendirian yang disewa dan ia adalah penyelesaian sementara, tidak mampan untuk jangka panjang.

“Untuk makluman Dewan, tapak yang sesuai telah dikenal pasti dan
tersedia untuk dilaksanakan pada tahun depan, tertakluk kepada penyempurnaan proses teknikal dan kelulusan berkaitan.

“Tapak yang dikenal pasti itu di Mount Pock, Semporna dan mempunyai keluasan 50 ekar,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan DUN Sabah, di sini, pada Rabu.

Arifin berkata, komitmen itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan pengurusan sisa pepejal di Daerah Semporna dapat dilaksanakan secara lebih terancang, lestari dan mampan.

Katanya, ia sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan tanah persendirian yang bersifat sementara.

“Kerajaan Negeri yakin langkah berperingkat ini akan memastikan pelaksanaan dasar dan perkhidmatan berkaitan pengurusan sisa dapat dilaksanakan secara teratur, berkesan dan mampan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negeri Sabah 2022 belum dioperasikan buat masa ini.

Jelasnya, pihak kementerian masih dalam proses menyempurnakan persiapan peraturan berkaitan bagi memastikan pelaksanaannya dibuat secara teratur, menyeluruh dan berkesan.

“Tarikh kuat kuasa enakmen ini disasarkan untuk dikuatkuasakan pada tahun depan seperti yang ditetapkan kementerian setelah semua persiapan perundangan dan pentadbiran disempurnakan.

“Cadangan tarikh tersebut akan
dikemukakan kepada Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah untuk semakan dan pewartaan,” katanya. – Info X