TAWAU: Dua beradik termasuk seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) autisme ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Ria, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa perempuan berusia 10 tahun dan abangnya berusia 13 tahun ditemukan meninggal dunia di sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan.
Empat lagi penghuni rumah terbabit bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri sebelum ketibaan pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba II Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.13 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, sebaik tiba sembilan minit kemudian, pasukan bomba mendapati sebuah rumah teres dua tingkat jenis kekal berkeluasan 20 x 30 kaki sedang terbakar.
“Kebakaran menyebabkan kira-kira 70 peratus struktur rumah musnah, manakala empat daripada enam penghuni berjaya keluar menyelamatkan diri.
“Bagaimanapun, dua lagi mangsa masih terperangkap di dalam rumah dan usaha menyelamat segera dijalankan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jemishin berkata, kedua-dua mangsa akhirnya ditemukan dalam keadaan rentung di sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan pada jam 6.43 pagi.
“Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dengan tiga pancutan air daripada tangki jentera serta pili bomba berhampiran,” katanya.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.07 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.06 pagi.

Katanya, operasi membabitkan 20 anggota bomba bersama jentera pemadam kebakaran, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan lori tangki air.
“Operasi turut dibantu lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih belum diketahui. – Info X