Dua anggota TUDM direman tujuh hari bantu siasatan kes dadah

November 20, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Dua anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes rampasan dadah di Pangkalan Udara Subang, Shah Alam, Selangor, pada 17 November lalu.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek berusia 28 dan 48 tahun itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini, selepas membenarkan permohonan pegawai penyiasat, Inspektor Hamka Ab Rashid.

Reman bermula hari ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Kedua-dua suspek yang masing-masing berpangkat Koperal dan Pegawai Waran II itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berdasarkan keterangan kes, kedua-duanya ditahan kira-kira jam 7 pagi tadi di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, untuk pemeriksaan lanjut berhubung laporan polis yang dibuat di Bukit Jelutong, Selangor.

Siasatan awal mendapati kedua-dua anggota berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rampasan dadah yang berlaku kira-kira jam 6.50 petang, 17 November lalu, di ruang legar Ketibaan Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang.

Polis turut merampas dua telefon bimbit milik suspek bagi membantu siasatan lanjut.-Info X