Pertandingan ratu pondan diserbu, 12 individu ditahan

November 20, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Seramai 12 individu yang dipercayai terbabit dalam penganjuran pertandingan ratu pondan ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bersama polis di Kampung Hidayat 2, Pulau Bum-Bum, di sini.

Semua individu terbabit ditahan selepas premis yang dipercayai menjadi lokasi penganjuran pertandingan berkenaan diserbu dalam operasi bersepadu itu.

Operasi diketuai Pegawai JHEAINS Semporna, Mohd Juseph Ahmad Kapala, dengan kekuatan lima pegawai jabatan berkenaan serta bantuan 11 anggota polis berpangkat Lans Koperal.

Mohd Juseph berkata, operasi itu dilaksanakan hasil kerjasama antara JHEAINS dan polis bagi menjalankan penguatkuasaan undang-undang berkaitan.

Katanya, selain menahan 12 individu yang berpakaian menyerupai wanita, pihaknya turut merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan pertandingan berkenaan.

“Antara barangan yang dirampas ialah piala, sijil, hamper dan beberapa barangan lain,” katanya.

Beliau berkata, operasi berkenaan mencerminkan kerjasama kedua-dua agensi dalam melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan undang-undang.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan jenis kesalahan yang disiasat serta tindakan lanjut terhadap semua individu yang ditahan.-Info X