PENAMPANG: Polis menumpaskan sindiket penyimpanan dan pengedaran minuman keras tidak bercukai kastam menerusi Op Taring Alpha 2 selepas merampas pelbagai jenama minuman keras bernilai RM13.92 juta dalam serbuan di sebuah premis berasaskan kontena, di sini.

Dalam operasi kira-kira jam 10.15 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, menahan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Kedua-dua suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan seorang warga Indonesia yang dipercayai berperanan dalam aktiviti penyimpanan serta pengedaran minuman keras tidak bercukai kastam.
Pemeriksaan lanjut di premis berkenaan menemukan sejumlah besar minuman keras pelbagai jenama yang disimpan di dalam beberapa kenderaan pengangkut dan kontena.
Antara yang dirampas ialah enam lori pelbagai jenis bersama muatan minuman keras, selain 396,000 tin minuman keras pelbagai jenama dan tiga telefon bimbit.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM13.921 juta, merangkumi minuman keras bernilai RM13.068 juta, kenderaan RM850,000 dan telefon bimbit RM3,000.
Siasatan awal mendapati premis berkenaan dipercayai beroperasi sejak kira-kira enam bulan lalu dan dijadikan tempat penyimpanan serta pengedaran minuman keras tidak bercukai kastam.
Kedua-dua individu yang ditahan dipercayai bertugas sebagai penjaga stor dan penghantar minuman keras berkenaan dengan menerima bayaran gaji secara tunai kira-kira RM3,000 sebulan daripada seorang lelaki warga asing yang dikenali sebagai Teck.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Semua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, CP Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata kejayaan operasi itu mencerminkan komitmen pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan penyeludupan minuman keras tidak bercukai.
“Kejayaan operasi ini merupakan satu tindakan penguatkuasaan yang signifikan dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan dan pengedaran minuman keras tidak bercukai kastam yang boleh mengakibatkan ketirisan hasil pendapatan negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.-Info X