Search

Dua beranak hilang ketika mandi-manda di air terjun Kokol ditemui selamat

September 20, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua beranak yang dilaporkan hilang ketika mandi manda di kawasan air terjun Kokol Hobbiton Forest, Manggatal tengah hari tadi, ditemui selamat.

Mangsa Yusri Pungut, 51, dan anak perempuan Nur Delisyah Yusri, 5, ditemui selamat, jam 6.06 petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Pegawai Bomba Kanan II, Willfred Sulai, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.10 petang.

Katanya, seramai 11 anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Menurut pengadu (isteri mangsa) ketika keluar dari kawasan air terjun, pengadu tersedar bahawa suami dan anaknya yang berusia lima tahun tidak keluar dari kawasan air terjun ke tempat permulaan.

“Selepas menanti lebih kurang tiga jam, pengadu bimbang keselamatan suami dan anaknya kemudian menghubungi pihak bomb dan polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mangsa berjaya ditemui selepas tersesat di kawasan air terjun Kokol Hobbiton Forest, Manggatal, Kota Kinabalu. – Foto/Bomba

Willfred berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba melakukan pencarian dengan kaedah menyusuri denai hingga ke kawasan air terjun.

“Pada 6.06 petang, kedua-dua mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat selepas kedua-dua mangsa pergi ke tempat permulaan dengan sendirinya.

“Mangsa memaklumkan berjaya keluar dari hutan ke jalan utama,” katanya. – Info X