Search

Dua blok rumah pekerja 43 pintu musnah dalam kebakaran di Kota Belud

December 24, 2025

Info X Reporters

KOTA BELUD: Dua blok rumah pekerja membabitkan 43 pintu musnah dalam kebakaran di Kampung Rampayan Ulu, di sini, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elgie Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.17 petang.

Susulan itu, katanya seramai tujuh anggota bomba digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira 12.6 kilometer, dengan jentera tiba di tempat kejadian pada jam 2.36 petang.

“Kebakaran melibatkan dua blok rumah pekerja milik sebuah syarikat swasta yang berstruktur tidak kekal dan terbakar 100 peratus.

“Tiga kenderaan turut terjejas akibat bahangan haba, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anggota bomba memadam kebakaran rumah pekerja di Kampung Rampayan Ulu, Kota Belud.

Katanya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos sepanjang kira-kira 61 meter dengan empat pancutan air daripada jentera bomba.

“Pasukan turut berjaya menyelamatkan dua lagi blok rumah pekerja berjumlah empat pintu daripada turut terbakar.

“Api berjaya dikawal pada jam 3.48 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6 petang.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – Info X