Search

Penunggang ‘rempit’ dicekup susulan video tular di Lahad Datu

December 24, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang penunggang motosikal lelaki ditahan polis susulan penularan video di media sosial yang memaparkan kegiatan disyaki lumba haram membabitkan sekumpulan penunggang motosikal di daerah ini, awal pagi Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi pada 21 Disember lalu, insiden itu berlaku di persimpangan lampu isyarat berhampiran Lapangan Terbang Lahad Datu.

Seorang penunggang motosikal didapati melanggar lampu isyarat merah hingga membahayakan keselamatan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain, sebelum terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, hasil maklumat awam serta tindakan pantas Unit Penguatkuasa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, suspek berjaya dikesan di kediamannya di Felda Sahabat.

“Suspek berusia 21 tahun dikesan pada 23 Disember kira-kira jam 4.15 petang.

“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu sebelum tangkapan dibuat bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau hadir sendiri ke IPD Lahad Datu.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda antara RM5,000 hingga RM15,000.

“Bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda RM10,000 hingga RM20,000 boleh dikenakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa agar memantau pergaulan anak-anak supaya tidak terjebak dengan gejala tidak sihat, selain mengingatkan golongan belia supaya mematuhi undang-undang lalu lintas dan menjauhi aktiviti lumba haram serta samseng jalanan.

“Operasi bersepadu akan dijalankan dari semasa ke semasa, khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan kegiatan lumba haram,” katanya. – Info X