Search

Pemandu Axia meninggal dunia selepas 55 jam bertarung nyawa

December 24, 2025

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Seorang lelaki meninggal dunia selepas kira-kira 55 jam bertarung nyawa akibat kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kampung Menggaris 1, di sini, petang Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.05 petang pada 21 Disember itu, sebuah Perodua Bezza dan Perodua Axia bertembung di laluan berbukit dan curam.

Akibat perlanggaran itu, pemandu Perodua Axia berusia 33 tahun mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke Hospital Kota Marudu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.35 malam, 23 Disember lalu, kira-kira 55 jam selepas bertarung nyawa ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika Perodua Bezza dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kampung Tagaroh, Kota Marudu.

“Sebuah Perodua Axia dari arah bertentangan dipercayai memasuki laluan salah sebelum melanggar kenderaan berkenaan secara bertembung.

“Pemandu Bezza turut mengalami kecederaan, manakala seorang penumpang wanita dalam Perodua Axia cedera parah dan masih menerima rawatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Info X