TAWAU: Polis menahan tiga lelaki warga asing disyaki terbabit aktiviti perjudian sabung ayam dalam serbuan di kawasan ladang kelapa sawit di Jalan Sin Onn Tiku, di sini, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 4 petang itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Tawau bertindak hasil maklumat awam sebelum menahan suspek berusia antara 39 hingga 60 tahun.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pemeriksaan di lokasi turut membawa kepada rampasan seekor ayam dipercayai digunakan untuk aktiviti sabung ayam.
“Semua suspek dan barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015.
Sementara itu, beliau menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti perjudian haram serta penderaan haiwan. – Info X