Search

Dua bot bertembung di Semporna, seorang kru hilang, empat cedera

January 9, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Seorang kru dilaporkan hilang manakala empat lagi cedera selepas dua bot penumpang bertembung di kedudukan kira-kira 0.3 batu nautika timur Jeti Pelancong Semporna, awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, kru bot dikenali sebagai Rosman Kandau, 24, disahkan hilang di lokasi kejadian, manakala empat mangsa lain termasuk juragan bot mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Sebuah lagi bot yang terlibat membawa dua kru dan dilaporkan selamat tanpa kecederaan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan melalui talian 999 kira-kira jam 11.30 pagi.

“Hasil maklumat awal mendapati bot pertama yang membawa lima kru mengalami kerosakan teruk akibat pelanggaran itu,

“Manakala bot kedua yang terlibat tidak mengalami sebarang kerosakan serius,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, susulan laporan diterima, operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) diaktifkan pada jam 1.50 petang bagi mengesan mangsa yang masih hilang.

“Operasi itu melibatkan Bot Cenderawasih 09 milik APMM serta Bot PSC 58 milik Pasukan Polis Marin (PPM).

“Operasi pencarian meliputi kawasan seluas tiga batu nautika persegi dan Carilamat masih diteruskan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata komuniti maritim dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan keselamatan pelayaran bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Selain itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan pencarian mangsa diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di 014-7870624 untuk tindakan segera,” katanya. – Info X