KOTA KINABALU: Bantuan segera yang diumumkan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib untuk Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan, Manggatal, yang terjejas akibat banjir baru-baru ini, tiba di sekolah itu pada Jumaat.
Bantuan itu merangkumi peralatan penting seperti perabot bagi menggantikan petalatan yang rosak akibat banjir sebelum ini.
Semua bantuan diselaraskan bersama Pejabat Pendidikan Negeri Sabah bagi memastikan pelajar dan guru dapat kembali menjalani sesi pembelajaran dengan selesa dan selamat mulai Isnin ini.

Menerusi satu kenyataan hari ini, pejabat kementerian menjelaskan bantuan lain yang diumumkan sebelum ini akan disalurkan secara berperingkat dan dijangka menyusul dalam masa terdekat.
Katanya, usaha itu selaras dengan komitmen kerajaan negeri bagi memastikan pemulihan sekolah terjejas akibat banjir dapat dilaksanakan secara menyeluruh. – Info X