KOTA KINABALU: Dua lagi individu termasuk seorang wanita didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Upik di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Kedua-dua tertuduh ialah Norsyafilah Pawawoi, 28 dan Zulkahar Dusing, 29, masing-masing didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Norsyafilah dituduh menganggotai Geng Upik di Kota Kinabalu antara 2015 hingga 28 Julai 2016, manakala Zulkahar menjadi ahli kumpulan sama antara 2021 hingga 3 Mei 2023.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan dirakam terhadap tertuduh.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun.
Ketika ini Norsyafilah sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun sejak 2018 atas kesalahan mengedar dadah, manakala Zulkahar menjalani tahanan reman di Tawau.
Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Lina Hanini Ismail memohon tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen dan pengurusan pemindahan kes ke mahkamah tinggi untuk kedua-dua tertuduh.
Hakim Noor Hafizah Mohd Salim kemudian menetapkan 22 Mac ini untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, di mahkamah yang sama seramai 11 individu termasuk seorang bergelar Datuk yang didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Upik pada 22 Januari lalu dihadapkan semula untuk mendapatkan tarikh sebutan semula, serahan dokumen dan pengurusan pemindahan kes ke mahkamah tinggi.

Tertuduh terbabit ialah Rahman Burijin, 44; Jaisalfian Jaineh @ Zaini, 45,; Mohd Fauzie Rablin, 33; Shahlan Shah Abdul Samad, 37; Datuk Maslan Sani, 41; Nelson Yen Yee Chung, 46; Mohd Faridzul Asmahadi, 31; Fazrul Bahar, 32; Alkan Abraham, 35; Mazlan Mahmud, 41; dan Mahathir Jibarail, 49.
Mahkamah menetapkan 22 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula selepas menimbangkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajah Mat Radzi dan hujah beberapa peguam bela tertuduh berhubung tarikh yang dicadangkan.

Sebelumnya, Siti Hajah memohon agar mahkamah membenarkan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 15 April atau tarikh selepas itu, namun pihak peguam bela meminta agar ia diawalkan.
Pada 22 Januari lalu, semua 11 tertuduh didakwa melakukan kesalahan di Kota Kinabalu mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.
Berdasarkan pertuduhan, masing-masing terduduh didakwa melakukan kesalahan bermula 2015 hingga 24 Disember tahun lalu.
Pada 25 Disember lalu, polis menahan ahli perniagaan bergelar datuk yang mendalangi sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah menerusi siri serbuan yang dilakukan polis Bukit Aman.
Lelaki itu turut menaungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melindungi kegiatan haram sejak 2015.
Sindiket berkenaan juga dikesan melakukan pengubahan wang haram melalui pelbagai perniagaan mewah yang dijalankan ahli sindiketnya termasuk syarikat minyak dan gas serta rangkaian restoran. – Info X