Search

Kastam Sabah gagalkan cubaan seludup 81,000 kg ayam sejuk beku bernilai RM1.11 juta

March 1, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Cubaan menyeludup masuk 81,000 kilogram (kg) ayam sejuk beku dari negara jiran gagal selepas berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Semua ayam sejuk beku bernilai lebih RM1.11 juta yang dibawa menggunakan tiga kontenan itu berjaya dikesan di Pelabuhan Sabah, Sepanggar, di sini, baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, operasi dijalankan atas maklumat yang diterima daripada Cawangan Risikan JKDM Sabah.

Katanya, pasukan operasi membuat pemeriksaan terhadap tiga kontena yang tiba dari Pelabuhan Klang, Selangor.

“Hasil pemeriksaan fizikal terhadap semua kontena berkenaan mendapati terdapat dagangan yang dimuatkan adalah daging ayam beku yang terdiri daripada bahagian dada dan tulang paha ayam.

“Nilai dagangan didalam tiga buah kontena berkenaan dianggarkan bernilai RM931,500 dengan cukai terlibat sebanyak RM186,300,” katanya pada siang media, di sini, hari ini.

Datuk Mohd Nasir Deraman menunjukkan ayam sejuk beku yang dirampas.

Mohd Nasir berkata, siasatan mendapati semua kontena berkenaan berasal dari negara Thailand dan dibawa masuk melalui Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 16 Jan lalu.

Katanya, ia dibawa masuk dengan menggunakan borang kastam no 8 (in-transit) menggunakan jalan darat dan seterusnya ke Pelabuhan Klang.

“Hasil semakan JKDM, barang dagangan mendapati pengimport menggunakan borang K3.

“Ia didapati tidak mengikut Peraturan Kastam mengenai pemindahan barang berstatus “in-transit” kerana didapati kontena-kontena ini melakukan aktiviti in-transit di Zon Bebas Pelabuhan Klang.

“Sepatutnya, barang dagangan berkenaan diikrar menggunakan Borang Kastam K1. Hasil semakan lanjut juga mendapati, ia sepatutnya dagangan dikrar menggunakan Borang Kastam K1 semasa pergerakan keluar daripada Zon Bebas ke Pelabuhan Klang,” katanya.

Mohd Nasir berkata, JKDM mendapati semasa keluar dari Zon Bebas, ia tidak dikrar menggunakan Borang K1 dan sebaliknya terus dikrar menggunakan Borang K3.

Katanya, semua barang dagangan berkenaan disita dan kes masih dalam siasatan lanjut sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Jabatan bagi tindakan selanjutnya.

“JKDM turut menahan dua individu pemilik premis yang dialamatkan barang dangangan berkenaan bagi membantu siasatan.

“Kes ini mempunyai alamat yang sah dan tidak seperti kes-kes lepas yang menggunakan alamat tidak betul,” katanya.

Mohd Nasir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(9), Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda nilai barangan itu dan tidak lebih daripada dua puluh kali ganda nilai barangan itu.

Katanya, pesalah juga boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. – Info X