Search

Dua lelaki disyaki guna bom ikan lari terjun laut

May 17, 2024

Info X Reporters

LAHAD DATU: Dua lelaki nekad terjun ke laut bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan daerah ini, semalam.

Kedua-dua lelaki terbabit yang menaiki bot pam dikesan oleh bot peronda APMM Lahad Datu menerusi Op Pluto Timur dan Op Tiris dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan 0.1 batu nautika di perairan Pulau Sakar, kira-kira 2.15 petang.

Pengarah APMM Zon Lahad Datu, Komander Maritim TS Dr Suzanna Razali Chan berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985, Seksyen 26, iaitu menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya.

“Dua lelaki dewasa yang menaiki bot berkenaan bagaimanapun berjaya melarikan diri dengan terjun dan berenang ke pesisir daratan berhampiran selepas menyedari kehadiran bot peronda APMM.

“Bot berkenaan kemudian ditahan dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bot pam ditahan selepas disyaki digunakan untuk kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Lahad Datu. – Foto/APMM

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebuah enjin bot, sebuah kompressor, enam botol bom ikan, peralatan menyelam dan lima set jaring menyimpan ikan.

“Komuniti maritim terutamanya di Sabah diingatkan supaya tidak melakukan aktiviti bom ikan ini kerana ia bukan sahaja salah di sisi undang-undang laut negara malah membawa kesan negatif kepada ekosistem laut dan juga membahayakan nyawa pelaku serta mereka yang sedang melakukan aktiviti menyelam.

“Zon Maritim Lahad Datu akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang perlanggaran undang-undang dan
perlakuan jenayah di perairan Lahad Datu.

“Orang ramai khususnya komuniti maritim diminta untuk bekerjasama menyalurkan maklumat ataupun aduan ke Zon Maritim Lahad Datu yang beroperasi 24 jam di talian 089 – 885727 atau MERS 999,” katanya. – Info X