SIBU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) terus gagah menyusun strategi untuk membanteras aktiviti penyeludupan selain melindungi keselamatan negara.
Dalam Operasi Khas yang diselaraskan MCBA berjaya merampas pelbagai barangan kontraban dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM4 juta.
Ketua Pengarah MCBA, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, pihaknya yang memulakan operasinya atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Mei lalu berjaya menyelaraskan operasi bersepadu di Sarawak bermula 14 hingga semalam.
Katanya, operasi khas ini adalah bagi menyahut seruan menangani isu ketirisan di pintu masuk negara dan juga sebahagian daripada usaha berterusan untuk membanteras aktiviti penyeludupan selain melindungi keselamatan negara.
“Sepanjang operasi khas dijalankan, pasukan PDRM berjaya merampas pelbagai barangan kontraban termasuk sejumlah besar daging sejuk beku, bir, rokok, dan beras putih.
“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM4 juta menunjukkan kejayaan besar dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan di negara ini,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, operasi ini juga membabitkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dan Cawangan Kawal Selia Padi dan Beras Sibu, Sarawak.
“Kerjasama erat antara agensi-agensi ini memainkan peranan penting dalam kejayaan operasi ini.
“MCBA bersama-sama agensi penguatkuasaan yang lain komited untuk terus bekerjasama dalam usaha membanteras penyeludupan dan melindungi keselamatan sempadan negara,” katanya. – Info X