TAWAU: Dua lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan lori di Batu 22, Jalan Apas, di sini, jam 6.35 pagi tadi.
Mangsa berusia 20 tahun penumpang Perodua Viva disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu berusia 19 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Viva dinaiki dua mangsa dari arah Semporna menuju ke Tawau.
Katanya, lori dipandu lelaki berusia 47 tahun dari arah Tawau menuju ke Semporna.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, disyaki pemandu Perodua Viva hilang kawalan lalu tergelongsor sejauh 40 meter di atas pembahagi jalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh lori.
“Pemandu dan penumpang Perodua Viva dikeluarkan dari kereta dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau.
“Penumpang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tawau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pemandu lori hanya mengalami cedera ringan.
“Akibat kemalangan, Perodua Viva mengalami kerosakan teruk dan lori remuk di bahagian hadapan.
“Polis masih meneruskan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X