Search

Kastam Sabah rampas 10.79kg dadah di Tawau

March 18, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas dadah seberat 10.79 kilogram dalam serbuan di sebuah syarikat penghantaran barang di Jalan Bakau, di sini, pada 9 Mac lalu.

Rampasan dadah yang dipercayai jenis syabu itu dilakukan Pasukan Operasi Penguatkuasaan JKDM Tawau dalam serbuan yang dijalankan kira-kira jam 12 tengah hari.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung cubaan mengedar dadah menggunakan perkhidmatan penghantaran barang.

Katanya, hasil serbuan terhadap premis berkenaan, pasukan operasi berjaya menemui satu kotak berwarna coklat dengan perihal barang yang ditulis sebagai peralatan memancing.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 10 bungkusan plastik bertulis ‘168 Freeso-Dried Durian’ yang mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine.

“Berat keseluruhan dadah berkenaan dianggarkan seberat 10.79 kg dan bernilai RM356,070,” katanya pada sidang media di pejabat JKDM Tawau, di sini, hari ini.

Mohd Nasir (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang berjaya dirampas dalam serbuan berkenaan.

Mohd Nasir berkata, modus operandi sindiket ini adalah membawa dadah berkenaan menggunakan perkhidmatan penghantaran barang melalui jalan darat daripada Kota Kinabalu ke Tawau.

Katanya, sindiket juga hanya meletakkan alamat penerima sahaja untuk tujuan ‘self collect’ bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

“Justeru, susulan rampasan itu, pengurus syarikat penghantaran barang terbabit ditahan untuk membantu siasatan kes.

“Semua dadah berkenaan dirampas untuk tindakan dan siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Mohd Nasir berkata, berdasarkan jumlah berat dadah yang dirampas itu berjaya membanteras daripada diedarkan kepada lebih 50,000 orang penagih.

“Saya menggesa orang ramai supaya membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan melibatkan rokok, minuman keras, dadah dan lain-lain.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – Info X