PAPAR: Seorang remaja lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas motosikal ditunggang mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan di Jalan Bukit Manggis Kelatuan, di sini petang semalam.
Mangsa warga tempatan berusia 16 tahun yang menunggang motosikal jenis Demak disahkan meninggal dunia pada jam 5.30 petang selepas hampir sejam menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Papar.
Seorang lagi mangsa lelaki warga tempatan berusia 13 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda mengalami cedera parah dan menerima rawatan di hospital sama.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, kemalangan berlaku jam 4.53 petang semalam, ketika seorang lelaki warga tempatan berusia 50 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 dari Keningau menuju ke Kota Kinabalu.
“Pada ketika itu, sebaik pemandu terbabit tiba di Jalan Bukit Manggis Kampung Kelatuan, mahu masuk simpang ke kanan menuju ke Masjid Jamek, Kampung Haji Said Derun Kampung Melagui, tiba-tiba terdengar bunyi yang kuat dari arah belakang sebanyak dua kali.
“Satu motosikal ditunggang remaja berusia 16 tahun melanggar tepi kanan depan kenderaan manakala sebuah lagi motosikal Honda ditunggang remaja berusia 13 tahun melanggar belakang sebelah kanan kenderaan SUV berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, kedua-dua penunggang motosikal dibawa ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kamaruddin berkata, pemandu dan penumpang SUV Proton X70 tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Remaja yang berusia 16 tahun disahkan meninggal ketika mendapat rawatan di Hospital Papar, kira-kira jam 5.30 petang.
“Seorang lagi mangsa yang mengalami kecederaan parah masih menerima rawatan di hospital sama,” katanya.
Tambah beliau lagi, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Info X