Search

PRN17 boleh diadakan bila-bila masa – Hajiji

November 10, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) dijangka diadakan pada bila-bila masa dari sekarang hingga Oktober tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menyatakan perkara itu ketika mengulas tempoh kerajaan pimpinannya sekarang yang akan berakhir pada Oktober tahun depan.

“Kita mempunyai tempoh sehingga Oktober 2025 untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada PRN17.

“Maknanya, kita boleh mengadakan pilihan raya pada bila-bila masa, sebelum atau sehingga tempoh kita tamat.

“Apa yang pasti, kita akan berhadapan dengan pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar ‘Memperkasa Parti, Memakmurkan Negeri’ pada Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Selain pemimpin Gagasan Rakyat, perhimpunan itu turut dihadiri pemimpin rakan partinya dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah.

Hajiji bersama perwakilan dan pemimpin pelbagai parti pada Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat di SICC.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat dan Pengerusi GRS, berkata kerajaan GRS-PH Plus pimpinannya memerlukan mandat baharu daripada rakyat dan sokongan yang signifikan bagi menerajui kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun lagi.

“Tempoh itu amat penting kepada rakyat dan negeri ini bagi memastikan segala agenda yang terkandung dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang kita gagaskan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Yakin dan percayalah, PRN17 adalah peluang terbaik untuk kita memperkukuhkan kedudukan dan kekuatan Gagasan Rakyat, selain menjadi medan untuk kita pasakkan asas parti serta memperkasa sokongan rakyat terhadap parti yang tercinta ini.

“Momentum ini akan menjadikan Gagasan Rakyat dan GRS kukuh dalam politik arus perdana, sekali gus mencipta blok politik yang kuat lagi disegani,” katanya. – Info X