Search

Dua nelayan hilang di perairan Sandakan

November 30, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Dua nelayan warga Indonesia dilaporkan hilang di perairan Pulau Nunuyan, di sini, selepas bot yang mereka naiki gagal kembali ke jeti sejak Jumaat lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima panggilan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada jam 12.37 tengah hari tadi.

Katanya, Maritim Malaysia memohon bantuan operasi mencari dan menyelamat (SAR) berikutan penemuan peralatan milik bot berkenaan.

Menurutnya, Maritim Malaysia terlebih dahulu menerima maklumat pada jam 8.07 pagi mengenai penemuan papan tunda dan pukat yang dipercayai milik bot terbabit kira-kira 8.1 batu nautika di utara Pulau Nunuyan.

“Penemuan ini susulan laporan awal yang diterima ESSCOM semalam jam 8 pagi daripada pemilik bot yang memaklumkan botnya tidak pulang ke jeti sejak Jumaat lepas.

“Pada jam 8.30 pagi tadi, pemilik bot turut mengesahkan bahawa peralatan yang ditemui adalah milik mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jimmy berkata, sepasukan enam anggota dari BBP Sandakan digerakkan ke lokasi melalui Jeti Maritim Sandakan sebelum operasi SAR dijalankan bersama Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin (PPM).

Katanya, dua mangsa yang hilang berusia 32 dan 24 tahun, 24, kedua-duanya warga Indonesia. Mereka dilaporkan belum ditemukan setakat ini.

“Operasi SAR diteruskan dan maklumat perkembangan akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X