KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi DUN Darau, Datuk Mohd Razali Razi @ Bob tetap komited berkhidmat kepada rakyat kawasan itu walaupun tewas pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.
Beliau berkata, komitmennya terhadap rakyat di kawasan itu tidak akan luntur, malah sentiasa bersedia menghulur khidmat dan membantu mereka pada bila-bila masa.
“Walaupun tidak menang, Darau tetap di hati saya. Saya akan terus bekerja, terus membantu dan terus turun kampung seperti biasa,” katanya mengulas kekalahannya di kerusi itu.
Beliau tewas tipis kepada calon penyandang darj Warisan, Azhar Matussin, hanya dengan majoriti 63 undi selepas meraih 8,297 undi, berbanding Azhar memperoleh 8,360 undi.
Razali berkata, semangat untuk berkhidmat tidak hanya bergantung kepada jawatan, sebaliknya lahir daripada keikhlasan dan rasa tanggungjawab terhadap rakyat.
“Selagi saya mampu, selagi rakyat Darau masih memanggil nama saya, saya akan hadir untuk membantu,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu merakamkan penghargaan kepada semua pengundi di kawasan berkenaan.
Katanya, beliau menerima keputusan pengundi dengan penuh keinsafan dan rasa hormat, sambil menyifatkan pengalaman ketika berkempen sebagai suatu perjalanan yang sangat berharga.
“Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk berkempen, menziarahi kampung, duduk berbual dan mendengar sendiri harapan masyarakat,” katanya.
Beliau yang mesra disapa dengan panggilan Datuk Bob turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Azhar, selain menghargai persaingan sihat bersama calon lain, Meriah Osman (PIS), Joe Arfan (BN), Nordin Thani (KDM) dan Nabila Norsahar (PN). – Info X