Search

PRU Sabah: Presiden, pemangku presiden antara 7 pemimpin tertinggi parti tewas

November 30, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya tujuh pemimpin tertinggi parti, termasuk presiden dan pengerusi parti tewas pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, pada Sabtu.

Mereka termasuk bekas Menteri Luar yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman dan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Anifah yang bertanding buat kali kedua di kerusi DUN Bongawan selepas PRU Sabah Ke-16 pada 2020, sekali lagi gagal menjatuhkan penyandang kerusi itu, Dr Daud Yusof dari Warisan.

Daud mempertahankan kerusi DUN Bongawan dengan majoriti 938 undi setelah mendapat 5,542 undi berbanding 4,604 undi yang diperolehi Anifah selaku pencabar terdekat yang kali ini bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pandikar pula sekali lagi tewas di tangan anak muda, Datuk Fairuz Renddan yang menjadi seterunya pada PRU Sabah Ke-16 pada 2020, sebelum kembali menjadi lawan pada PRU Sabah Ke-17 walaupun dari pasukan yang sama, iaitu GRS di kerusi DUN Pintasan.

Fairuz mempertahankan kerusi itu dengan bertanding tiket Bebas setelah Pandikar dicalonkan mewakili GRS dan berjaya mencapai misi dengan memperolehi majoriti 1,070 undi.

Selain Anifah dan Pandikar, seorang lagi presiden parti yang kecundang ialah Presiden Parti Impian Sabah (PIS), Michel Alok apabila hanya mendapat 291 undi di kerusi DUN Telupid.

Kerusi itu dimenangi penyandangnya, Datuk Jonnybone J Kurum dari GRS dengan majoriti 1,011 undi.

Sementara itu, Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe turut tewas dalam persaingan sengit di kerusi DUN Likas yang menyaksikan calon Warisan, Tham Yun Fook memenangi kerusi itu dengan majoriti 2,425.

Lebih mengejutkan Warisan berjaya menyapu bersih semua kerusi bandar yang sebelum ini dipertahankan calon DAP dan PKR atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Di pihak PKR, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Peto Galim pula gagal mempertahankan kerusi DUN Inanam selepas tewas di tangan calon Warisan, Edna Majimbun.

Turut kecundang ialah pemangku Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Priscella Peter yang gagal mempertahankan kerusi disandang ayahnya, apabila ditewaskan calon PH di kerusi DUN Melalap.

Selain Priscella, seorang lagi Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda juga kalah dalam usahanya menjatuhkan Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Julita Majungki di kerusi DUN Matunggong.

Julita yang bertanding atas tiket GRS berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 334 undi setelah mendapat 9,096 undi berbanding Wetrom yang hanya mendapat 8,762 undi. – info X