KOTA KINABALU: Tiga daripada lima calon bebas yang menang pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 pada Sabtu adalah penyandang bagi kerusi masing-masing.
Mereka ialah Datuk Fairuz Renddan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari (Petagas) dan Datuk Rina Jainal (Kukusan).
Fairuz yang memenangi kerusi DUN Pintasan pada PRU Sabah Ke-16 pada 2020 tidak dicalon mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRU Sabah Ke-17.
Bekas Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu diminta memberi laluan kepada Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Bagaimanapun Fairuz bertindak mencalonkan diri untuk bertanding calon bebas pada hari penamaan calon, 15 November lalu dan akhirnya berjaya mempertahankan kerusi dengan majoriti lebih besar sebanyak 1,070 undi pada PRU Sabah Ke-17 semalam, berbanding 84 undi pada 2020.
Beliau mendapat 4,675 undi berbanding Pandikar yang hanya memperolehi 3,605 undi, menjadikan PRU Sabah Ke-17 kekalahan kedua bagi bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat itu selepas PRU Sabah Ke-16 pada 2020.
Di Petagas, Awang Ahmad Sah mempertahankan kerusi DUN berkenaan dengan menewaskan adiknya sendiri, Awang Husaini Sahari yang dicalonkan PKR atas tiket PH.
Beliau menang dengan majoriti 1,255 undi setelah mendapat 4,271 undi berbanding Awang Husaini yang hanya mendapat 3,016 undi.
Pada 2020, Awang Ahmad Sah memenangi kerusi itu atas tiket Warisan sebelum keluar parti pada Februari 2023 dan menyertai Gagasan Rakyat, namun disebabkan bertanding bebas pada PRU Sabah Ke-17, beliau kini tidak lagi berparti.
Sementara itu, keputusan Rina bertanding tiket bebas setelah disishkan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) yang menggantungnya dari parti menjelang hari penamaan calon pada awal bulan ini membolehkannya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 650 undi.
Pada 2020, beliau memenangi kerusi itu atas tiket Warisan dengan majoriti hanya 10 undi, sebelum keluar parti pada 2023 menyertai PHRS.
PRU Sabah Ke-17 pada Sabtu menyaksikan Rina mendapat 3,490 undi menewaskan pencabar terdekatnya, Ma’mun Sulaiman dari Warisan yang mendapat 2,840 undi, manakala calon GRS yang menggantikan tempatnya hanya mendapat 2,063 undi.
Dua lagi kerusi yang dimenangi calon bebas ialah Bandau dan Tulid.
Di kerusi DUN Bandau, bekas Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bandau, Datuk Maijol Mahap menewaskan Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda yang dinamakan sebagai calon GRS.
Maijol bertindak bertanding calon bebas selepas namanya tidak dicalonkan sekali gus berjaya memenangi kerusi itu dengan majoriti 244 undi setelah mendapat 3,996 undi berbanding 3,752 undi diperolehi Redonah dalam persaingan 13 penjuru.
Bagi kerusi DUN Tulid, pemenangnya, Jordan Jude Ellron memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,195 undi setelah mendapat 3,545 undi meninggalkan pencabar terdekatnya dari STAR yang mendapat 2,350 undi.
Pada Oktober lalu, Jordan diumumkan sebagai calon mewakili STAR selaku Ketua Wiramuda parti itu, namun ditukar kepada orang lain menjelang hari penamaan calon pada awal bulan ini.
Anak bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin itu tidak berpuas hati terhadap tindakan itu kerana sudah membuat persiapan awal, lalu bertekad bertanding calon bebas menentang calon STAR. – Info X