Search

PRU Sabah: BN hanya menang 6 kerusi, Salleh, Yakub antara tewas, Bung Moktar majoriti rendah

November 30, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) hanya memenangi enam daripada 44 kerusi yang ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.

Enam kerusi terbabit ialah Bengkoka, Sook, Liawan, Lamag, Sukau dan Kunak.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin hanya menang dengan majoriti rendah 153 undi setelah mendapat 3,908 undi berbanding pencabar terdekat, calon bebas, Mohd Ismail Ayub sebanyak 3,755 undi.

Lebih mengejutkan, bekas Ketua Menteri yang juga Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak tewas di tangan calon Warisan yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraisah Munirah Majilis di kerusi DUN Usukan.

Isnaraisah menang dengan majoriti 442 undi setelah mendapat 6,292 undi, berbanding Salleh selaku penyandang hanya mendapat 5,850 undi.

Turut tewas ialah Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin yang mewakili BN di kerusi DUN Bongawan, sekali gus mengekalkan penyandangnya dari Warisan, Dr Daud Yusof.

Seorang lagi penyandang kerusi BN yang tewas ialah Datuk Yakub Khan di DUN Karambunai.

Beliau ditewaskan Naib Pengerusi PN Sabah yang juga Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, menjadikannya pemimpin PAS pertama memenangi kerusi DUN di Sabah.

Selain itu, Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir yang dicalonkan BN di kerusi DUN Sungai Sibuga turut tewas di tangan calon Warisan.

Selain Bung Moktar, penyandang kerusi BN yang berjaya mempertahankan kemenangan ialah Datuk Harun Durabi di Bengkoka dan Datuk Jafry Arifin di Sukau.

Dua muka baharu calon BN yang menang pula ialah Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi di kerusi DUN Liawan dan Datuk Seri Dr Anil Sandhu. – Info X