Search

PRU Sabah: PH tewas teruk, UPKO tambah kerusi

November 30, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) gagal menyumbang kerusi yang signifikan apabila hanya menang satu daripada 19 kerusi ditandingi gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.

Satu-satunya kerusi yang dimenangi PH ialah di DUN Melalap yang diwakili Datuk Jamawi Jaafar selepas dicalonkan PKR.

Secara keseluruhan, PKR bertanding di 10 kerusi iaitu Bandau, Inanam, Api-Api, Petagas, Sindumin, Melalap, Tulid, Karamunting, Segama dan Merotai.

Sementara itu, DAP mencatat prestasi paling buruk apabila tewas di semua lapan kerusi yang ditandingi parti itu atas tiket PH, termasuk empat kerusi disandang mereka iaitu Likas, Luyang, Kapayan dan Tanjung Papat.

Dua lagi ialah kerusi yang baru ditandingi mereka pada pilihan raya kali ini iaitu Tanjung Aru dan Kemabong.

DAP tewas semua kerusi bandar di tangan calon Parti Warisan, manakala satu-satunya kerusi luar bandar iaitu Kemabong dimenangi GRS.

AMANAH yang hanya bertanding satu kerusi pula, turut tewas di kerusi DUN Sulabayan.

Secara keseluruhan, PH merekodkan penurunan jumlah kerusi yang ketara apabila hanya ada satu selepas PRU Sabah Ke-17, berbanding enam kerusi sebelum DUN Sabah dibubarkan pada Oktober lalu.

Dalam pada itu, bekas parti komponen PH, UPKO, yang keluar dari gabungan itu sebelum penamaan calon pada 15 November lalu berjaya memenangi tiga kerusi daripada 25 kerusi yang ditandingi mereka.

Selain Kadamaian yang dipertahankan presidennya, Datuk Ewon Benedick, UPKO turut menang di Tamparuli dan Moyog.

Di Tamparuli, kerusi itu dimenangi Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau yang juga Presiden Kehormat UPKO, manakala kerusi. DUN Moyog dimenangi Timbalan Presiden UPKO, Datuk Donald Peter Mojuntin.

Kemenangan itu menunjukkan peningkatan bagi UPKO iaitu dari satu kerusi pada pilihan raya 2020 kepada tiga kerusipada PRU Sabah Ke-17, pada 29 November 2025. – Info X