Search

PRU Sabah: Hajiji angkat sumpah Ketua Menteri jam 3 pagi

November 30, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri bagi penggal yang kedua, awal pagi ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu mengangkat sumpah jawatan tertinggi kerajaan negeri itu pada kira-kira jam 3 pagi tadi di hadapan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu.

Proses itu diadakan selepas GRS memenangi 29 kerusi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 yang berakhir pada Sabtu.

Difahamkan, GRS menjalin kerjasama dengan lima ADUN bebas, selain tiga ADUN UPKO dan satu ADUN PH bagi mencapai majoriti mudah sebanyak 37 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Sementara itu, dalam kenyataannya, Hajiji berterima kasih kepada rakyat Sabah yang memberikan mandat baharu kepada GRS untuk membentuk kerajaan negeri.

“Kemenangan ini adalah kemenangan rakyat. Ka milik setiap daripada anda yang percaya kepada visi kita, menyokong usaha kita, dan berkongsi impian kita untuk masa depan Sabah yang lebih cerah.

“Dengan penuh kesyukuran, saya menerima kepercayaan yang anda berikan kepada saya dan rakan-rakan saya GRS untuk sekali lagi memimpin dan berkhidmat sebagai wakil rakyat anda.

“Sokongan rakyat yang tidak berbelah bahagi dan keyakinan mereka terhadap perjuangan kita telah menjadi pemangkin kepada kemenangan ini.

“Marilah kita meraikan kemenangan ini sebagai permulaan kepada sebuah bab baharu, yang dipenuhi dengan tujuan yang diperbaharui serta tekad bersama untuk membina masa depan yang lebih baik untuk Sabah dan rakyatnya,” katanya.

Hajiji berkata sejak awal lagi, komitmen GRS adalah untuk memupuk perubahan dan kemajuan melalui agenda pembangunan holistik dan inklusif ‘Hala Tuju Sabah Maju Jaya’ (SMJ).

“Kita berusaha untuk menggerakkan pembangunan yang bermakna dan membina jambatan yang menyatukan, bukannya memisahkan.

“Kita kekal teguh dalam meneruskan kesinambungan SMJ 2.0, yang menumpukan kepada empat tonggak utama: Sabah Diutamakan (Sabah First), Sabah Maju (Sabah Forward), Sabah Sejahtera (Sabah Prosper) dan Sabah Bersatu (Sabah United),” katanya.

Hajiji turut menegaskan komitmen penuh GRS untuk bekerja tanpa henti bagi memperjuangkan harapan dan aspirasi semua rakyat Sabah.

“Bersama-sama, kita akan menghadapi cabaran, merebut peluang baharu, dan memastikan setiap suara, walau sekecil mana sekalipun, didengari dan dihargai.

“Marilah kita terus bekerjasama sebagai rakan kongsi aktif dalam perjalanan kemajuan ini. Dengan perpaduan sebagai kekuatan kita, marilah kita melangkah ke hadapan bersama-sama dan memastikan kemenangan ini benar-benar membawa makna.

“Kepada semua pihak lawan kita yang telah bertanding bersama kita sepanjang pilihan raya ini, marilah kita merapatkan saf dan merangkul semangat demokrasi dengan bersatu padu.”Marilah kita membina kepercayaan dan beriltizam untuk bekerja secara kolaboratif demi berkhidmat kepada rakyat dengan berkesan dan demi kebaikan Sabah secara keseluruhan,” katanya. – Info X