PITAS: Dua remaja perempuan cedera selepas melompat keluar dari tingkap untuk menyelamatkan diri dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Dandun, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa masing-masing berusia 18 dan 13 tahun dilaporkan cedera ketika cuba menyelamatkan diri sebelum dibawa ke hospital oleh orang awam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Penolong Penguasa Bomba Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.55 pagi.
Katanya, tujuh anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi sejauh 23 kilometer dan tiba pada jam 5.24 pagi.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran membabitkan dua rumah jenis tidak kekal yang musnah sepenuhnya.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran dengan tiga pancutan dan sumber air daripada jentera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.30 pagi sebelum kerja pemadaman sisa kebakaran dilakukan.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.24 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X