Search

USIA, NGO Islam Sabah bantah program ‘Israel & New Breed’ di KK

September 29, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) bersama badan bukan kerajaan (NGO) Islam Sabah dan Labuan menyatakan bantahan tegas terhadap penganjuran program ‘Israel & New Breed – Till The Whole World Knows Tour 2026’ di Sabah.

Menerusi kenyataan bersama Unit Komunikasi USIA dan NGO Islam Sabah, program yang dijadual berlangsung di Hakka Hall, di sini, pada jam 8 malam, 22 Oktober 2026 itu dibantah atas sensitiviti masyarakat negara ini terhadap kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin.

Kenyataan itu menyebut, bantahan terhadap program yang bakal dihadiri artis antarabangsa, Israel Houghton itu bukan berkaitan soal agama atau bangsa, sebaliknya mengambil kira pendirian penyanyi berkenaan terhadap Israel.

“Bantahan ini bukan berkaitan soal agama atau bangsa, sebaliknya berhubung dengan pendirian terbuka individu berkenaan terhadap Israel yang boleh disemak melalui hantaran media sosial beliau sendiri.

“Antaranya, terdapat hantaran yang memaparkan simbol Israel bersama kenyataan ‘I pray for the peace of Jerusalem. I stand with Israel’.

“Pendirian terbuka seperti ini
sememangnya mempunyai implikasi dari sudut sensitiviti masyarakat, khususnya ketika dunia sedang menyaksikan
penderitaan berterusan yang dialami rakyat Palestin,” katanya.

Katanya, USIA dan NGO-NGO Islam Sabah menghormati kebebasan beragama serta menolak sebarang bentuk kebencian terhadap mana-mana agama, bangsa atau komuniti.

Bagaimanapun, USIA bersama rakan NGO Islam Sabah lain menegaskan kebebasan itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai keperluan untuk menerima atau menormalisasikan setiap pendirian politik atau sokongan terhadap pihak yang sedang menjadi pertikaian serius dalam isu kemanusiaan antarabangsa.

“Kami berpandangan bahawa Sabah mempunyai identiti masyarakat yang menjunjung keamanan, keharmonian, toleransi dan nilai kemanusiaan sejagat.

“Justeru, sebarang penganjuran
program antarabangsa yang melibatkan individu dengan pendirian awam berkaitan konflik Israel-Palestin wajar dinilai dengan penuh tanggungjawab, termasuk dari aspek sensitiviti masyarakat, kepentingan awam, ketenteraman serta keharmonian rakyat Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, katanya USIA dan NGO-NGO Islam Sabah menggesa pihak berkuasa serta agensi berkaitan supaya meneliti semula segala kelulusan, permit dan aspek penganjuran program itu, termasuk kedudukan serta kenyataan awam artis yang terbabit.

“Kami berharap semua pihak berkuasa menggunakan bidang kuasa yang ada bagi memastikan sebarang program yang berlangsung di Sabah tidak menimbulkan ketegangan atau mencetuskan sensitiviti yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Kami akan membuat laporan polis sebagai bantahan dan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan serta tindakan. Kami tidak menyeru kepada kebencian, kekerasan atau tindakan terhadap mana-mana individu atas dasar agama dan bangsa.

“Sebaliknya, pendirian kami adalah berasaskan prinsip kemanusiaan dan keprihatinan terhadap nasib rakyat Palestin. Palestin bukan sekadar isu politik, ialah adalah isu kemanusiaan,” katanya.

Atas prinsip itu, katanya USIA dan NGO Islam Sabah akan terus menyuarakan solidariti kepada rakyat Palestin serta menolak sebarang usaha yang dilihat boleh menormalisasikan sokongan terhadap penindasan dan penderitaan rakyat Palestin.

“Kami menyeru masyarakat Sabah supaya mengekalkan ketenangan, tidak mengambil tindakan sendiri dan menyalurkan sebarang bantahan melalui saluran yang sah.

“Kekuatan perjuangan bukan melalui kekerasan, tetapi pada prinsip, kewarasan tindakan dan kesatuan suara yang disampaikan secara aman. USIA dan NGO-NGO Islam Sabah berdiri bersama prinsip kemanusiaan, keamanan dan keadilan,” katanya.

Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun menjelaskan tiada sebarang permohonan rasmi diterima daripada penganjur bagi mengadakan program berkenaan di Sabah, tetapi dikesan menguar-uarkan penganjurannya di media sosial.

Berikutan itu, katanya polis akan memberi nasihat berdasarkan maklum balas masyarakat berkaitan sensitiviti program itu di Sabah, termasuk laporan polis yang diterima berhubung bantahan terhadap penganjurannya. – Info X