Search

Dua rentung, seorang lagi masih hilang dalam kebakaran 200 rumah

August 30, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua mangsa ditemukan rentung, manakala seorang lagi masih hilang selepas kebakaran memusnahkan kira-kira 200 rumah atas air di Numbak, di sini, awal pagi hari ini.

Ketiga-tiga mangsa yang dikhuatiri hilang itu terdiri daripada dua beradik dan seorang sepupu.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hannis Moktar berkata, dua mangsa ditemukan pasukan bomba ketika operasi pemadaman dijalankan.

Katanya, operasi mencari seorang lagi mangsa masih diteruskan, manakala identiti serta status ketiga-tiga mangsa dalam proses pengesahan.

“Kebakaran membabitkan rumah atas air jenis tidak kekal merangkumi tiga kampung iaitu Kampung Lok Buta, Kampung Lok Poring dan Kampung Sabang Lama.

“Anggaran awal mendapati kira-kira 200 rumah terjejas dalam kawasan seluas kira-kira 79 meter kali 116 meter,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan bomba sedang berusaha mengesan seorang lagi mangsa di lokasi kebakaran di Numbak, Manggatal, Kota Kinabalu.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 1.40 pagi sebelum jentera tiba di lokasi pada 1.54 pagi.

Katanya, pasukan menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 305 meter dengan empat pancutan.

“Sumber air diperoleh daripada jentera bomba dan sumber air terbuka, iaitu laut.

“Kebakaran berjaya dikawal pada 6.26 pagi daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.

“Operasi pemadaman, pencarian mangsa dan kerja-kerja ‘overhaul’ masih diteruskan,” katanya.

Operasi membabitkan 44 anggota dari BBP Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Tuaran dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Sabah Electricity.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz turut berada di lokasi bersama Penolong Pengarah Operasi Negeri, Penguasa Kanan Bomba I Muhammad Taqiuddin Victor Doon serta pegawai kanan jabatan.

Jumlah sebenar rumah yang musnah masih dalam proses pengesahan, manakala punca kebakaran dan nilai kerugian belum dapat dipastikan. – Info X