Search

Ratusan rumah atas air musnah terbakar di Kampung Numbak

August 30, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ratusan rumah atas air musnah dalam kebakaran besar di Kampung Numbak, di sini, awal pagi hari ini.

Kebakaran yang berlaku kira-kira 1.30 pagi itu menyebabkan api merebak pantas dari sebuah rumah ke rumah lain berikutan kedudukan struktur yang rapat.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hannis Moktar ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.40 pagi sebelum pasukan pertama tiba di lokasi 18 minit kemudian.

“Operasi membabitkan 39 anggota dari BBP Kota Kinabalu, BBP Lintas dan BBP Penampang.

“Pasukan menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 305 meter dengan empat pancutan, manakala sumber air diperoleh daripada jentera,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, operasi pemadaman masih giat dijalankan bagi mengawal api daripada terus merebak ke rumah berhampiran.

Operasi turut membabitkan tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua lori tangki air, dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta beberapa kenderaan sokongan.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Idy Nirwan Illyas mengetuai operasi berkenaan dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz turut berada di lokasi bersama Penolong Pengarah Operasi Negeri, Penguasa Kanan Bomba I Muhammad Taqiuddin Victor Doon.

Katanya, setakat ini jumlah sebenar rumah yang musnah masih dalam proses dikenal pasti.

“Nilai kerugian juga belum dapat dipastikan, dan punca kebakaran akan disiasat sebaik operasi selesai,” katanya.