SANDAKAN: Dua buah rumah musnah dalam kebakaran di Jalan PPR Batu 8, Kampung Lembaga, di sini tengah malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.42 tengah malam.
Katanya, seramai 11 anggota dan pegawai bersama empat buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati dua buah rumah jenis tidak kekal sudah musnah terbakar dan pasukan bomba terus menjalankan operasi.
“Pasukan bomba menggunakan dua pancutan daripada sumber air jentera untuk memadam kebakaran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 1.07 pagi dan setakat ini tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.20 pagi.
“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa terbabit,” katanya. – Info X