Search

Dua rumah, surau musnah dalam kebakaran

March 30, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Dua rumah dan sebuah surau musnah dalam kebakaran di Kampung Pagar-Pagar Sondoton, di sini, tengah malam tadi.

Pemangku BBP Keningau, Evan Bobby berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.53 tengah malam sebelum sepasukan 10 anggota dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba kira-kira jam 1 pagi, didapati kebakaran membabitkan tiga struktur jenis tidak kekal iaitu dua rumah dan sebuah surau yang terbakar 100 peratus.

“Rumah pertama berkeluasan kira-kira 111 meter persegi, rumah kedua 84 meter persegi manakala surau sekitar 111 meter persegi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 91 meter dengan dua pancutan air yang diperoleh daripada jentera, water tanker serta pili bomba berhampiran.

Anggota bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Pagar-Pagar Sondoton, Keningau.

Katanya, api berjaya dikawal daripada merebak pada jam 1.44 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 3 pagi.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

“Pasukan bomba turut memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran sebelum beredar dari lokasi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis yang membantu melancarkan operasi di lokasi kejadian.

“Siasatan lanjut mengenai punca kebakaran masih dijalankan,” katanya. – Info X