KOTA KINABALU: Pejabat Perhubungan Parlimen Kota Kinabalu mengambil inisiatif turun padang meninjau kesan jenayah pecah rumah yang dilapor berlaku di kawasan Likas, minggu ini.
Ketua Pegawai Perhubungannya, Kaven Lee Seng Vui, berkata berulangnya jenayah itu memberi gambaran pentingnya aspek keaelamatan komuniti ditingkatkan menerusi kerjasama masyarakat dan polis.
Beliau menegaskan, aspek keselamatan masyarakat tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya perlu ditangani bersama dengan sebaik mungkin.

Sehubungan itu, katanya beliau mengambil inisiatif dengan turun padang ke lokasi kejadian bersama mangsa dan polis dari Balai Polis Bandaran bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas berhubung insiden jenayah terbabit.
“Keselamatan rakyat bukan perkara yang boleh ditangguhkan atau dipandang ringan. Setiap insiden adalah isyarat jelas bahawa tindakan tegas dan segera mesti diambil. Saya tidak akan berdiam diri apabila keselamatan komuniti terancam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Dalam masa yang sama, beliau turut bersama mangsa membuat laporan rasmi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Setakat ini, katanya kes itu masih dalam siasatan polis dan suspek belum ditemui.

“Hasil tinjauan di lokasi, beberapa aspek keselamatan dikenal pasti untuk diberi perhatian, termasuk akses masuk ke kawasan perumahan, keadaan persekitaran serta potensi risiko yang boleh ditambah baik.
“Maklumat tersebut telah disalurkan kepada pihak PDRM bagi tindakan susulan.
“Pihak Polis IPD Kota Kinabalu dan Balai Polis Bandaran juga mengambil maklum berhubung kejadian ini dan akan meningkatkan rondaan di kawasan terlibat bagi memastikan keselamatan penduduk terus terjamin,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru penduduk agar meningkatkan tahap kewaspadaan dan segera melaporkan sebarang pergerakan mencurigakan kepada pihak berkuasa.
Beliau juga menasihatkan penduduk agar tidak panik, sebaliknya terus bekerjasama dan saling menjaga antara satu sama lain demi keselamatan bersama.
Kaven turut merakamkan penghargaan kepada pihak PDRM atas tindakan yang efisien serta komitmen berterusan dalam menangani kes itu.
“Perkembangan siasatan akan terus dipantau dari semasa ke semasa dan diharapkan suspek dapat dikesan serta dibawa ke muka pengadilan dengan segera,” katanya. – Info X