KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini membenarkan permohonan reman terhadap dua lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh seorang kanak-kanak perempuan yang mayatnya ditemui di Kampung Numbak, dekat sini, semalam.
Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali memberikan perintah tahanan reman selama tujuh hari, bermula hari ini hingga 24 Julai terhadap kedua-dua suspek tanpa dokumen pengenalan diri itu, masing-masing berumur 39 tahun dan 42 tahun.
Permohonan reman dibuat pegawai penyiasat polis, Asisten Superintendan La Paula Abd Muis mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Ditemui selepas prosiding, La Paula berkata siasatan kes itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua suspek ditahan selepas mayat kanak-kanak berumur 10 tahun yang sebelum ini dilaporkan hilang sejak 13 Julai lalu, ditemui di Kampung Numbak, semalam.
Menerusi satu kenyataan semalam, pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman, berkata bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati kematiannya berpunca daripada kecederaan di bahagian muka dan belakang kepala, dipercayai dipukul dengan objek keras dan tumpul. – Info X