TAWAU: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan selepas mangsa ditemui bersama suspek di sebuah penginapan murah di bandar ini, petang semalam.
Suspek warga tempatan itu ditahan kira-kira jam 2.05 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau hasil risikan yang dijalankan susulan laporan polis dibuat abang mangsa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai keluar dari rumah pada Selasa lalu sebelum ditemui bersama suspek di sebuah penginapan murah di sekitar bandar Tawau.
Beliau berkata, bertindak atas laporan diterima, polis menjalankan risikan sebelum berjaya mengesan lokasi mangsa dan menahan suspek bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa atau penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan, pergaulan serta aktiviti harian anak-anak, selain mewujudkan komunikasi yang baik dalam keluarga bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa atau terjebak dalam perlakuan yang menyalahi undang-undang.
Katanya, orang ramai juga diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan identiti mangsa kerana tindakan sedemikian boleh mengganggu siasatan selain melanggar peruntukan undang-undang. – Info X