Search

Dua suspek kes gaduh hingga mati diburu polis

July 1, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes pergaduhan sehingga menyebabkan kematian di sebuah pusat hiburan di Bandaran Berjaya, di sini, pada 16 Jun lalu, diburu polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya sudah mengenalpasti dua suspek terbabit dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

Katanya, kedua-dua suspek warga asing yang dikenali sebagai Herman dan Yusof itu diburu bagi membantu siasatan lanjut.

“Pihak polis memohon kerjasama orang ramai untuk mengesan kedua-dua suspek yang dipercayai terbabit dalam kes pergaduhan berkenaan.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Idrus Arshard ditalian 019-8233112,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata, orang ramai juga boleh terus tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat.

Katanya, berdasarkan siasatan polis, dua mangsa bekerja sebagai anak kapal disyaki dipukul dan ditilam menggunakan objek tajam.

“Setakat ini, polis percaya motif kejadian yang mendatangkan kematian itu adalah disebabkan oleh perselisihan faham antara kedua-dua pihak.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – Info X