Search

Mangsa dihanyut arus banjir ditemui meninggal dunia

July 1, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Banjir yang melanda daerah ini sejak petang semalam meragut nyawa seorang mangsa yang dilapor dihanyutkan arus deras selepas menghantar makanan kepada penduduk terperangkap banjir, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Monica Ting Siew Kwong, 37, ditemui di celah pokok berhampiran rumah penduduk pada kira-kira jam 8 pagi tadi di Kampung Hungab, di sini, kira-kira 500 meter dari lokasi dia dihanyutkan arus deras.

Mayat mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terdiri daripada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis yang memulakan operasi selepas menerima laporan pada jam 1.45 pagi tadi.

Sebelum ditemui, pasukan SAR menjumpai kasut yang digunakan mangsa tidak jauh dari lokasi penemuan mayatnya dan ia menjadi petunjuk yang membantu pencarian mangsa.

Pasukan SAR menjumpai kasut yang digunakan mangsa tidak jauh dari lokasi penemuan mayatnya.

Ketua Polis Penampang, Superintendan Sammy Newton ketika ditemui di lokasi penemuan mangsa, berkata mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (QEH), Kota Kinabalu untuk bedah siasat.

Sammy menunjukkan lokasi mangsa ditemui di Kampung Hungab, Penampang.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 pagi tadi, mangsa bersama suaminya, Hii Ding Wei, 39, dikatakan pergi menghantar makanan kepada penduduk yang terperangkap akibat banjir dekat pekan Donggongon, di sini, sebelum pulang.

Bagaimanapun, difahamkan ketika cuba melalui kawasan banjir berhampiran Bulatan Sigah, Jalan Penampang Bypass, di sini, mangsa dikatakan dihanyutkan arus deras.

Suaminya cuba membantu dengan menarik tangan mangsa, namun tarikan arus banjir yang sangat kuat menyebabkan mangsa terlepas sebelum hanyut dan pencarian masih dijalankan oleh anggota penyelamat sehingga pagi ini. – Info X